Sunday, February 25, 2018

KESAN-KESAN BERLAKU FITNAH DI MEDIA SOSIAL


Fitnah bukan sahaja merupakan perbuatan yang terkutuk dan dilaknat oleh Allah S.W.T. Namun, penyebaran fitnah menerusi internet kini telah menjadi satu fenomena baru yang mendatangkan banyak keburukan kepada pelbagai pihak seperti terhadap individu, keluarga, masyarakat, negara dan agama.

1. Individu
Orang yang melakukan fitnah biasanya hanya mementingkan kepuasan diri sendiri tanpa memikirkan keburukan yang akan memberi kesan kepada orang lain pada hari mendatang.  Nama baik dan air muka seseorang individu boleh tercemar atau tercalar apabila wujudnya fitnah yang dilemparkan terhadapnya dan boleh membawa kepada keaiban. Hal ini akan menyebabkan wujudnya rasa kebencian dan permusuhan oleh orang lain terhadap mangsa fitnah tersebut. Oleh itu, individu tersebut bukan sahaja akan berdepan dengan cercaan dan pandangan serong malah reputasi dan kredibilitinya juga akan dipertikaikan.

Selain itu, fitnah secara tidak lansung boleh menyebabkan seseorang mangsa mengalami tekanan emosi dan masalah psikologi apabila timbul stigma, pandangan negatif dan prejudis terhadapnya. Tanpa iman dan semangat yang kuat dan kental, seseorang itu pasti akan dicengkam dengan rasa sedih dan murung yang melampau sehingga melarikan atau menyepikan diri dari masyarakat. Jika keadaan lebih teruk, mangsa mungkin mengalami agoraphobia, iaitu sejenis masalah apabila penghidapnya mengalami rasa takut yang melampau untuk berada di tempat awam atau terbuka.

Di samping itu, fitnah juga boleh menjejaskan periuk nasi mangsa dan pekerjaan atau sumber rezeki individu berkenaan akibat hilang kepercayaang orang sekeliling yang terlalu percaya akan fitnah yang tersebar itu.
  
2. Keluarga
Perbuatan fitnah juga akan menyebabkan sesebuah keluarga sukar untuk saling memahami antara satu sama lain kerana berlakunya salah faham. Hubungan kekeluargaan juga akan sentiasa dipengaruhi rasa tidak tenteram dan sentiasa berbolak-balik. Ini secara tidak lansung akan menyebabkan timbulnya perasaan dendam dalam diri mereka dan mendorong kepada pergaduhan atau pertelelagahan.

Kesan terhadap individu juga akan memberi impak yang sangat besar terhadap hubungan kekeluargaan seperti tercetusnya masalah rumah tangga sehingga mengakibatkan penceraian akibat cerita buruk melalui fitnah yang tersebar. Ini juga akan memudaratkan keluarga itu sendiri kerana berlakunya kekasaran dan pukul-memukul antara suami isteri sehingga memberikan tekanan kepada anak-anak khususnya yang masih kecil.

3. Masyarakat
Fitnah ialah satu perkara besar yang boleh merosakkan persaudaraan dan perpaduan. Kesan daripada perbuatan itu bukan hanya merugikan seorang dua, malah menyebabkan permusuhan, pertelagahan serta hilangnya perasaan kasih sayang, hormat dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat.  

Apabila ukhuwah serta semangat persaudaraan luntur, maka lenyap dan runtuhlah kebahagiaan dan kemanisan hidup bermasyarakat. Oleh itu, hilanglah sifat permuafakatan dalam kalangan masyarakat dan berkuranglah amalan kemasyarakatan antara mereka yang telah dipupuk sejak azali lagi. Kehidupan bermasyarakat mereka juga akan huru-hara dan porak peranda akibat permusuhan.

4. Negara
Fitnah juga mampu menngancam keselamatan negara apabila nama baik negara terjejas. Anasir-anasir fitnah yang berleluasa mampu menyebabkan keseimbangan dan keselamatan negara tergugat lantas mencetuskan pergolakan. Apabila salah faham akibat fitnah timbul seperti timbulnya provokasi sentimen perkauman dan keagamaan, suasana yang genting boleh mencetuskan peperangan dan pertumpahan darah. Di samping kesan buruk fitnah terhadap institusi sosial, fitnah juga boleh menjatuhkan ekonomi negara. Kesannya ialah mewujudkan sentimen anti sesebuah negara serta membentuk persepsi palsu dan negatif. Hal ini mampu memberikan impak kepada sektor ekonomi sesuatu negara.

Keburukan dan persepsi negatif ini boleh menakutkan pelabur dan peniaga asing untuk melabur di sesebuah negara itu. Selain itu, fitnah juga akan memberi tempias kepada sektor pelancongan sesebuah negara malah boleh membawa kepada pemboikotan produk atau barangan dari sesebuah negara itu. Akibatnya, ekonomi negara akan menjadi lumpuh.

5. Agama

Penganut agama Islam akan rasa takut dengan balasan dosa dan azab seperti yang telah dinyatakan dalam Al-Quran dan Hadis. Namun, penganut agama lain akan memandang serong terhadap agama Islam dan seterusnya hilang rasa hormat akan agama Allah ini akibat daripada budaya fitnah yang berleluasa dalam kalangan umat Islam pada masa kini. Akhir sekali, penghinaan dan penindasan kepada umat Islam akan terjadi dengan lebih ekstrem.

8 comments: