Pada zaman serba moden ini, fitnah berlaku dan tersebar dalam
pelbagai saluran media massa dan elektronik, bahkan ianya semakin berleluasa
melalui media sosial seperti Facebook
dan Twitter. Oleh yang demikian, wujudlah gelaran “Fitnah Siber”. Fitnah yang
dicetuskan tersebar dengan cepat, meluas dan mudah tanpa sebarang sekatan yang
akhirnya mencetuskan huru-hara pada pelbagai pihak.
Fitnah merupakan satu jenayah yang berlaku sama ada di alam nyata
mahupun di alam siber. Dengan adanya medium perinteraksian seperti media sosial
seperti ini, tidak mustahil seseorang boleh menyatakan kepada seseorang yang
lain sesuatu yang tidak benar atau sebagainya dan seterusnya menjadi satu
fitnah.
Budaya menyebarkan fitnah melalui media sosial seperti Whatsapp,
Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya telah menjadi satu kebiasaan dan
semakin popular dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Malah ianya turut
menjadi satu kewajipan bagi sesetengah individu yang suka menyebarkan berita
palsu dan panas. Tanpa disedari, masalah ini telah memberi kesan yang negatif
dalam kalangan masyarakat dan mendatangkan keburukan kepada pelbagai pihak.
Ramai pembaca dari kalangan masyarakat yang mengamalkan konsep setiap apa yang disiarkan
dianggap betul dan tepat tanpa meragui kesahihannya. Hal ini amatlah berbahaya
kerana mereka gemar mempercayainya bulat-bulat tanpa menyelidikinya terlebih
dahulu.
Oleh itu, setiap pihak perlulah bekerjasama dan berganding bahu
untuk membanteras atau menbendung masalah fitnah yang semakin berleluasa ini
supaya tidak mendatangkan keburukan pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment