Sunday, February 25, 2018

 

JABATAN KEJURUTERAAN AWAM

DUA 6022
( KOMUNIKASI DAN PENYIARAN ISLAM)

PROJEK
TAJUK:
APAKAH PERSEPSI ANDA TENTANG PERLELUASAN FITNAH YANG BERLAKU DALAM INTERNET/MEDIA SOSIAL? BINCANGKAN.


DISEDIAKAN KEPADA:
USTAZ ZULKIFLI BIN AWANG BESAR(JABATAN PENGAJIAN AM PKB)

DISEDIAKAN OLEH:


NUR SYAFIQAH ZULKIPLI
04DKA15F2017
DKA5B
NURUL MAWADDAH MOHD RIDHUAN
04DKA15F2109
DKA5B


KONKORDANSI

  • Pengenalan
  • Definisi Fitnah
  • Definisi Fitnah Siber
  • Jenis-Jenis Fitnah
  • Faktor-Faktor Berlaku Fitnah di Media Sosial
  • Kesan-Kesan Berlaku Fitnah di Media Sosial
  • Langkah-Langkah Mengatasi Fitnah
  • Cara-Cara Rasulullah Hadapi Fitnah dari Segi Islam
  • Kesimpulan
  • Lampiran
  • Sumber Rujukan

PENGENALAN

Pada era globalisasi ini, isu fitnah semakin berleluasa sejajar dengan kemajuan teknologi dan ekonomi di negara kita. Fitnah merupakan satu perbuatan yang terkutuk dan sangat dicela oleh setiap agama kerana ia akan menimbulkan pergaduhan dan ketidaksefahaman antara pihak yang terlibat.

Terdapat banyak medium yang digunakan bagi menabur khabar palsu atau fitnah kepada sesuatu pihak. Ia boleh dilakukan melalui kaedah pertuturan atau berbisik antara seseorang atau seseorang yang lain. Menggunakan medium komunikasi moden seperti menggunakan media massa samada melalui berita, akhbar, radio, televisyen, internet dan lain-lain. Fitnah juga boleh dikembangkan antara satu pihak bertelagah dengan pihak lain dengan hanya menjadikan habuan atau keistimewaan sebagai janji atau upah kepada pihak yag terlibat aktiviti berfitnah.

Banyak firman Allah dalam Al-Quran dan hadis yang menyatakan tentang fitnah dan keburukannya. Antara firman Allah yang menyatakan tentang fitnah ialah:
Wahai orang yang beriman, jika datang kepadamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik(untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpa sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu(mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan” (Surah al-Hujurat, ayat 6)

Dengan firman ini memberi gambaran bahawa setiap kata-kata yang disampaikan perlu diteliti dan diselidik terlebih dahulu agar kebenarannya dapat dipastikan dan khabar tersebut tidak mengandungi unsur fitnah. Hal ini kerana dapat mengelakkan kesan buruk yang akan menimpa seseorang individu atau ahli masyarakat. Rasulullah S.A.W juga bersabda. Maksudya:
Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah,” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)


Hadis Rasulullah ini menunjukkan bahawa fitnah merupakan dosa yang sangat besar dan berat sehingga tidak dapat memasuki syurga. Oleh itu, Islam melarang dan mengharamkan dengan keras perbuatan fitnah kerana kesan fitnah adalah sangat buruk sehingga boleh memudaratkan dan memberi impak yang sangat besar kepada seseorang individu, keluarga, masyarakat dan negara.

DEFINISI FITNAH


Fitnah dalam bahasa Arab memberi erti bencana, ujian dan cubaan. Dari segi istilah ulama adalah seperti yang didefinasikan oleh Jurjani iaitu perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu.

Menurut Kamus Dewan edisi keempat, fitnah pula didefinisikan sebagai tuduhan, khabarm kisah dan lain-lain yang diada-adakan atau dibuat-buat untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.

Fitnah secara umumnya  merupakan satu bentuk komunikasi kepada satu pihak atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif atas sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain, ia berdasarkan atas fakta palsu yang dipengaruhi oleh sifat penghormatan, buruk sangka, obses, atau menjatuhkan dan/atau menaikkan nilai reputasi seseorang atau sesuatu pihak.

Dalam Al-Quran, kata fitnah disebutkan pada 34 tempat dan digunakan untuk erti atau makna yang berbeza. Kitab-kitab hadis juga pada umumnya memasukkan bab tertentu tentang fitnah. Sebagai contoh, Kitab Sahih Al-Bukhari ada memasukkan 78 hadis tentang fitnah. Makna fitnah dalam Al-Quran ialah:

1. Fitnah yang membawa maksud syirik.
Firman Allah:
              “Syirik lebih dasyat dosanya daripada membunuh.” (Ayat 191:Surah Al-Baqarah)

2. Fitnah yang membawa maksud ujian dan cubaan.
Firman Allah:
              "Dan sesungguhnya kami telah menguji ummat yang terdahulu."(Ayat 3:Surah Al-Ankabut)

3. Fitnah yang membawa maksud seksa.      
Firman Allah:
                “Rasakanlah azabmu ini. Inilah azab yang dahulu kamu minta agar disegerakan.”(Ayat 14:Surah Az-Zariat)

4. Fitnah yang membawa maksud dosa.    
Firman Allah:
                 "Dan sebahagian mereka ada yang berkata "izinkanlah aku untuk tidak berperang dan janganlah menyebabkan aku berbuat dosa. Ketahuilah mereka yang telah terjebak dalam dosa (dengan tidak mahu pergi berperang)."(Ayat 49:Surah At-Taubah)

5. Fitnah yang membawa maksud kekufuran.     
Firman Allah:
                 "Sesungguhnya mereka inginkan kekufuran."(Ayat 48:Surah At-Taubah)

6. Fitnah yang membawa maksud pembunuhan dan kebinasaan.     
Firman Allah:
                 "Sekiranya kamu takut orang-orang Kafir membunuh kamu."(Ayat 101:Surah An-Nisa)

7. Fitnah yang membawa maksud berpaling dari jalan yang benar.     
Firman Allah:
                 "Dan berwaspadalah dari mereka yang hendak memesongkan kamu dari jalan kebenaran."( Ayat 49:Surah Maidah)

8. Fitnah yang membawa maksud sesat.     
Firman Allah:
                 "Dan sesiapa yang Allah hendak menyesatkannya."(Ayat 41:Surah Al-Maidah)

9. Fitnah yang membawa maksud alasan.     
Firman Allah:
                 "Kemudian tidaklah ada alasan mereka melainkan mereka berkata "Demi Allah wahai tuhan kami, kami bukannya orang-orang musyrikin."(Ayat 23:Surah Al-An'am)


                  Jika diperhatikan, semua gambaran Al-Quran di atas adalah kesan buruk dari fitnah. Banyak kesan buruk yang akan terjadi akibat fitnah yang tercetus. 

DEFINISI FITNAH SIBER


Pada zaman moden era teknologi dan globalisasi ini, “Fitnah Siber” berlaku dan tersebar dalam pelbagai saluran media massa dan elektronik,bahkan ianya semakin berleluasa melalui laman-laman sosial seperti facebook dan twitter. Fitnah yang dicetuskan tersebar dengan cepat, meluas dan mudah tanpa sebarang sekatan yang akhirnya mencetuskan huru-hara dan ketidakstabilan dalam masyarakat.

Jenayah fitnah merupakan satu jenayah yang berlaku sama ada di alam nyata mahupun di alam siber. Tambahan lagi dengan adanya kemudahan laman rangkaian media sosial yang membolehkan seseorang berinteraksi dan bertukar pendapat malah memberikan informasi atau dokumen dengan hanya menekan dihujung jari. Dengan adanya medium perinteraksian seperti media sosial seperti ini, tidak mustahil seseorang boleh menyatakan kepada seseorang yang lain sesuatu yang tidak benar atau sebagainya dan seterusnya menjadi satu fitnah. Sifat fitnah sering dilakukan di alam nyata ataupun melalui laman sosial adalah sama sahaja dan kesannya juga adalah sama.


Budaya menyebarkan fitnah melalui alam siber seperti facebook, twitter, blog dan sebagainya telah menjadi satu kebiasaan dan semakin popular dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Malah ianya turut menjadi satu kewajipan bagi sesetengah individu yang suka menyebarkan berita palsu dan panas. Tanpa disedari, masalah ini telah memberi kesan yang negatif dalam kalangan masyarakat dan mendatangkan keburukan kepada pelbagai pihak. Ramai pembaca yang kebanyakkan daripada mereka mengamalkan konsep setiap apa yang disiarkan dianggap betul dan tepat. Hal ini amatlah bahaya kerana mereka mempercayainya seratus peratus tanpa menyelidiknya terlebih dahulu.

JENIS-JENIS FITNAH

JENIS-JENIS FITNAH DALAM ISLAM

1. Fitnah Syubhat
Syubhat bererti samar-samar atau tidak jelas. Dalam fitnah syubhat, seseorang menjadi rosak ilmu dan keyakinannya sehingga menjadikan perkara ma’ruf menjadi samar dengan kemungkaran, sementara kemungkaran sendiri tidak ia hindari (dikerjakan). Fitnah syubhat merupakan fitnah paling berbahaya kerana kurangnya ilmu dan lemahnya bashirah, ketika diiringi dengan niat buruk dan hawa nafsu maka timbullah fitnah besar dan keji.  Contoh-contoh fitnah syubhat ialah kekafiran, kemunafikan, dan bid’ah penyebab perpecahan.
Rasulullah SAW amat risau tentang fitnah syubhat, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Barzah Al-Aslamy, beliau bersabda yang ertinya;
“Sesungguhnya di antara yang aku takutkan atas kamu adalah syahwat mengikuti nafsu pada perut kamu dan pada kemaluan kamu serta fitnah-fitnah yang menyesatkan.”(H.R.Ahmad).

2. Fitnah Syahwat
 Fitnah syahwat merupakan perbuatan yang dapat melemahkan dan mengikis iman seseorang disebabkan oleh hawa nafsu.  Mereka yang terkena fitnah syahwat biasanya malas untuk beribadah serta tidak segan melanggar perintah Allah dan mengerjakan apa yang dilarang. Hal ini disebabkan oleh hawa nafsu beserta dan hasutan dari iblis yang sentiasa mengiringi dan membuat iman semakin lemah.
Umumnya, fitnah syahwat adalah segala sesuatu yang berhubungan dengan dunia, kesenangan, dan yang membangkitkan hawa nafsu.Allah SWT berfirman yang ertinya;
“Dijadikan indah bagi manusia kecintaan kepada syahwat (apa-apa yang diingini) berupa wanita, anak-anak, harta kekayaan yang berlimpah dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia. Dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).” (Q. S. Al-Imran: 14).

JENIS-JENIS FITNAH DARI SEGI UNDANG-UNDANG


1. Libel
Libel adalah sebarang penerbitan yang kekal yang ditujukan kepada mata. Fitnah tersebut dalam bentuk kekal seperti fitnah dalam bentuk penulisan, lukisan, gambar-gambar, patung-patung, bahan-bahan bercetak dan sebarang contoh yang melibatkan deria penglihatan.

2. Slander
Slander adalah fitnah dalam bentuk sementara dan lazimnya merujuk kepada fitnah dalam bentuk lisan seperti percakapan mahupun perbualan. Fitnah dalam bentuk slander dikatakan melibatkan deria pendengaran. Namun begitu bukan semua yang didengar itu adalah slander memandangkan dalam Akta Fitnah 1957, siaran radio dianggap sebagai fitnah berbentuk kekal atau libel.


FAKTOR-FAKTOR BERLAKU FITNAH DI MEDIA SOSIAL

Penyebaran fitnah menerusi internet kini telah menjadi satu fenomena hebat yang mendatangkan keburukan kepada pelbagai pihak. Kebebasan yang diberikan telah disalahgunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi tujuan kepentingan peribadi. Biarpun kebebasan bersuara diamalkan diseluruh negara di dunia namun fungsi internet seharusnya mendidik dan ia tidak harus disalahgunakan sehingga mendatangkan kesusahan kepada pihak yang lain.

Berbagai-bagai faktor yang mendorong berlakunya fitnah siber. Antara faktor utama yang menjadikan alam siber sebagai tempat menyebar fitnah adalah didorong oleh sifat tamak, iri hati dan mementingkan diri sendiri. Oleh itu, individu tersebut akan menulis pelbagai cerita yang tidak benar tentang individu yang dibencinya di media sosial untuk menjatuhkan individu tersebut dan terlalu mengikut perasaannya.

 Tambahan pula, alam siber adalah alam tanpa sempadan dan kos dalam penggunaannya sangat rendah berbanding telefon bimbit atau medium perhubungan yang lain.  Oleh kerana ciri-ciri tersebut, medium ini boleh menyebabkan perhubungan yang lebih meluas. Maka setiap orang berpendapat adalah lebih mudah bagi mereka meluah dan menyuarakan pendapat kepada pihak lain malah ke seluruh dunia.

Selain itu, faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan ini ialah kewujudan pelbagai bentuk kemudahan dalam alam siber, seperti e-mail, mesej yang dihantar secara berkelompok, papan buletin atau berkomunikasi melalui forum. Jika ramai yang berkomunikasi melalui cara ini, maka lebih banyak fitnah boleh disebarkan. Fitnah yang disebarkan akan dilakukan secara serta-merta dan tersebar menjadi permasalahan sejagat. Contohnya, parti-parti politik yang menggunakan internet dalam memperjuangkan kesinambungan agenda politik mereka. Ada sesetengah daripada pemimpin ataupun ahli parti-parti politik ini tidak kira yang menyokong kerajaan ataupun dipihak pembangkang menggunakan berita dalam talian untuk menabur fitnah dan hasutan bagi melemahkan pihak lawan mereka. 

Faktor lain pula adalah kurangnya kesedaran mengenai akibat menyebarkan fitnah atau berbaur hasutan khususnya kepada golongan yang tidak berfikir secara matang dan rasional serta kewarasan akal untuk bertindak. Mereka haruslah menyedari bahawa dalam ajaran agama ada menyebut tentang keburukan fitnah dan hasutan tidak kira apa jua agama sekalipun contohnya dalam agama Islam, Kristian, Buddha, dan Hindu. 


 Akhir sekali, berkemungkinan juga segelintir orang tidak peka terhadap beberapa isu yang sensitif yang boleh menyebabkan orang lain menyeleweng maksud yang ingin disampaikan berkenaan dengan isu sensitif sehingga boleh menimbulkan fitnah. Fitnah juga boleh wujud dalam kalangan orang yang menjalankan perniagaan contohnya melalui blog. Sebagai contoh, individu atau organisasi perniagaan yang ingin mendapatkan keuntungan yang lebih banyak berbanding pesaing lain. Taktik fitnah dan hasutan adalah cara yang penting bagi mereka mencapai apa yang mereka kehendaki. Oleh itu, dengan adanya kemudahan blog mereka senang untuk mengatasi pesaing-pesaing mereka dengan menyebarkan fitnah dan agenda-agenda tertentu dengan memburukkan perniagaan orang lain.

KESAN-KESAN BERLAKU FITNAH DI MEDIA SOSIAL


Fitnah bukan sahaja merupakan perbuatan yang terkutuk dan dilaknat oleh Allah S.W.T. Namun, penyebaran fitnah menerusi internet kini telah menjadi satu fenomena baru yang mendatangkan banyak keburukan kepada pelbagai pihak seperti terhadap individu, keluarga, masyarakat, negara dan agama.

1. Individu
Orang yang melakukan fitnah biasanya hanya mementingkan kepuasan diri sendiri tanpa memikirkan keburukan yang akan memberi kesan kepada orang lain pada hari mendatang.  Nama baik dan air muka seseorang individu boleh tercemar atau tercalar apabila wujudnya fitnah yang dilemparkan terhadapnya dan boleh membawa kepada keaiban. Hal ini akan menyebabkan wujudnya rasa kebencian dan permusuhan oleh orang lain terhadap mangsa fitnah tersebut. Oleh itu, individu tersebut bukan sahaja akan berdepan dengan cercaan dan pandangan serong malah reputasi dan kredibilitinya juga akan dipertikaikan.

Selain itu, fitnah secara tidak lansung boleh menyebabkan seseorang mangsa mengalami tekanan emosi dan masalah psikologi apabila timbul stigma, pandangan negatif dan prejudis terhadapnya. Tanpa iman dan semangat yang kuat dan kental, seseorang itu pasti akan dicengkam dengan rasa sedih dan murung yang melampau sehingga melarikan atau menyepikan diri dari masyarakat. Jika keadaan lebih teruk, mangsa mungkin mengalami agoraphobia, iaitu sejenis masalah apabila penghidapnya mengalami rasa takut yang melampau untuk berada di tempat awam atau terbuka.

Di samping itu, fitnah juga boleh menjejaskan periuk nasi mangsa dan pekerjaan atau sumber rezeki individu berkenaan akibat hilang kepercayaang orang sekeliling yang terlalu percaya akan fitnah yang tersebar itu.
  
2. Keluarga
Perbuatan fitnah juga akan menyebabkan sesebuah keluarga sukar untuk saling memahami antara satu sama lain kerana berlakunya salah faham. Hubungan kekeluargaan juga akan sentiasa dipengaruhi rasa tidak tenteram dan sentiasa berbolak-balik. Ini secara tidak lansung akan menyebabkan timbulnya perasaan dendam dalam diri mereka dan mendorong kepada pergaduhan atau pertelelagahan.

Kesan terhadap individu juga akan memberi impak yang sangat besar terhadap hubungan kekeluargaan seperti tercetusnya masalah rumah tangga sehingga mengakibatkan penceraian akibat cerita buruk melalui fitnah yang tersebar. Ini juga akan memudaratkan keluarga itu sendiri kerana berlakunya kekasaran dan pukul-memukul antara suami isteri sehingga memberikan tekanan kepada anak-anak khususnya yang masih kecil.

3. Masyarakat
Fitnah ialah satu perkara besar yang boleh merosakkan persaudaraan dan perpaduan. Kesan daripada perbuatan itu bukan hanya merugikan seorang dua, malah menyebabkan permusuhan, pertelagahan serta hilangnya perasaan kasih sayang, hormat dan kepercayaan dalam kalangan masyarakat.  

Apabila ukhuwah serta semangat persaudaraan luntur, maka lenyap dan runtuhlah kebahagiaan dan kemanisan hidup bermasyarakat. Oleh itu, hilanglah sifat permuafakatan dalam kalangan masyarakat dan berkuranglah amalan kemasyarakatan antara mereka yang telah dipupuk sejak azali lagi. Kehidupan bermasyarakat mereka juga akan huru-hara dan porak peranda akibat permusuhan.

4. Negara
Fitnah juga mampu menngancam keselamatan negara apabila nama baik negara terjejas. Anasir-anasir fitnah yang berleluasa mampu menyebabkan keseimbangan dan keselamatan negara tergugat lantas mencetuskan pergolakan. Apabila salah faham akibat fitnah timbul seperti timbulnya provokasi sentimen perkauman dan keagamaan, suasana yang genting boleh mencetuskan peperangan dan pertumpahan darah. Di samping kesan buruk fitnah terhadap institusi sosial, fitnah juga boleh menjatuhkan ekonomi negara. Kesannya ialah mewujudkan sentimen anti sesebuah negara serta membentuk persepsi palsu dan negatif. Hal ini mampu memberikan impak kepada sektor ekonomi sesuatu negara.

Keburukan dan persepsi negatif ini boleh menakutkan pelabur dan peniaga asing untuk melabur di sesebuah negara itu. Selain itu, fitnah juga akan memberi tempias kepada sektor pelancongan sesebuah negara malah boleh membawa kepada pemboikotan produk atau barangan dari sesebuah negara itu. Akibatnya, ekonomi negara akan menjadi lumpuh.

5. Agama

Penganut agama Islam akan rasa takut dengan balasan dosa dan azab seperti yang telah dinyatakan dalam Al-Quran dan Hadis. Namun, penganut agama lain akan memandang serong terhadap agama Islam dan seterusnya hilang rasa hormat akan agama Allah ini akibat daripada budaya fitnah yang berleluasa dalam kalangan umat Islam pada masa kini. Akhir sekali, penghinaan dan penindasan kepada umat Islam akan terjadi dengan lebih ekstrem.

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI FITNAH


Pada masa kini, isu fitnah kian menular dalam kalangan masyarakat dan perlu diatasi dengan segera memandangkan impaknya terhadap individu, masyarakat dan negara amatlah besar sehingga mampu meruntuhkan sesebuah institusi kekeluargaan mahupun institusi agama. Oleh itu, langkah-langkah bijak harus diambil terutamanya oleh pihak kerajaan untuk membendung dan mengatasi budaya fitnah ini.

Pelbagai langkah yang boleh diambil untuk membendung dan mengatasi masalah ini. Antaranya ialah, pihak kerajaan hendaklah mewujudkan sebuah badan khas yang akan menyelenggera atau menapis segala paparan di media sosial. Hal ini kerana, media sosial telah menjadi medium utama pada masa kini untuk menyebarkan fitnah kerana sifatnya yang terbuka, bebas dan pantas berbanding media cetak. Apatah lagi apabila konsep kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang diamalkan tanpa sekatan dalam internet itu sendiri telah membolehkan sesiapa sahaja menghantar atau menyiarkan sebarang maklumat samada sahih atau tidak. Jika badan ini diwujudkan, cerita-cerita yang tidak sepatutnya disiarkan dapat dihalang dari tersiar, seterusnya mampu mengatasi masalah fitnah ini.

Seterusnya, pihak kerajaan wajiblah menguatkuasakan undang-undang yang lebih berkesan. Undang-undang tersebut bukan sekadar menyediakan hukuman berat kepada pengfitnah malahan mampu menakutkan semua orang agar tidak sewenang-wenangnya berkata, menulis atau menyiarkan sesuatu yang tidak sahih memandangkan impaknya amatlah besar kepada pelbagai pihak bak kata pepatah, “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.

Di samping itu, pihak kerajaan perlulah memberikan pendedahan yang meluas dan berkesan kepada masyarakat tentang etika penulisan yang sebenar. Jika diperhatikan, masyarakat kini lebih cenderung untuk sekadar menulis apa-apa sahaja yang terlintas di benak fikiran tanpa memikirkan implikasi yang akan timbul akibat dari penulisan tersebut. Hal ini terjadi kerana mereka tidak tahu dan tidak peka terhadap etika penulisan yang betul atau undang undang berkaitan dengan penulisan itu sendiri. Dalam hal ini, media massa dan elektronik menjadi medium yang sangat penting pada kerajaan dalam menyebarkan prosedur sebenar tentang penulisan yang tidak melanggar syarat-syarat menulis bukan sahaja berkaitan isu sensitif seperti isu agama dan politik malahan dalam penulisan umum.


Selain itu, budaya fitnah juga dapat diatasi sekiranya pihak kerajaan mewajibkan atau melakukan penegasan agar semua data-data, fail atau laman media sosial didaftarkan terlebih dahulu dengan kerajaan sebelum boleh dilayari. Hal ini bagi memudahkan pihak kerajaan membuat pantauan dan mengesan sebarang maklumat yang tidak sah atau tidak benar. Ini juga akan membuatkan seseorang lebih berhati-hati dan akan meneliti terlebih dahulu penulisan mereka supaya tidak mengandungi unsur fitnah yang akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan yang setimpal.

CARA-CARA RASULULLAH HADAPI FITNAH DARI SEGI ISLAM


Rasulullah S.A.W merupakan suri tauladan yang terbaik buat seluruh umat Islam di dunia ini. Baginda mempunyai peribadi yang sangat mulia serta banyak keperibadian baginda yang boleh diterapkan dalam diri dan kehidupan seharian kita. Fitnah sudah mula terjadi pada zaman Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda. Baginda juga pernah difitnah berkali-kali dan fitnah yang dilemparkan terhadap baginda adalah sangat berat. Isteri baginda iaitu Siti Aisyah R.A juga tidak terlepas dari menjadi mangsa fitnah masyarakat pada zaman itu. Namun, baginda tidak pernah menyimpan dendam dan baginda menghadapi fitnah-fitnah tersebut dengan tenang berlandaskan ajaran Islam seperti di dalam Al-Quran dan Hadis.

Banyak cara Rasulullah S.A.W menghadapi fitnah dari segi Islam. Antaranya ialah, hindari tuduhan yang bersifat prasangka adalah sesuatu yang wajib ditunaikan oleh umat Islam. Masyarakat terutamanya para pemimpin juga harus menyadari bahawa prasangka seperti itu akan menjadi pusat perhatian bagi lawan mahupun kawan. Oleh  itu, kita perlu berusaha semampu mungkin untuk menghindari tempat-tempat atau hal-hal apa pun yang bisa menimbulkan pelbagai prasangka buruk
.
Seterusnya, janganlah menerima sesuatu isu bulat-bulat dengan  begitu sahaja tanpa ada bukti atau sokongan yang kukuh. Apa-apa berita yang tidak diperkuatkan dengan bukti haruslah ditolak oleh setiap umat Islam. Sebagaimana firman Allah Ta’ala dalam Al-Quran, “Mengapa mereka(yang menuduh itu)tidak mendatangkan empat orang saksi atas berita bohong itu? Oleh karena mereka tidak mendatangkan saksi-saksi maka mereka itulah di sisi Allah adalah pendusta.” (QS. An Nur, 24:13).

Di samping itu, kita perlulah menimbang secara teliti dalam menilai kesahihan sesuatu isu yang dibangkitkan. Caranya ialah dengan membandingkan isu yang berkembang dengan kenyataan yang ada pada diri anda sendiri. Oleh yang demikian, pastilah anda akan tetap mempercayai teman anda itu seperti anda mempercayai diri anda sendiri. Cara menimbang seperti itu diakui dan dipuji oleh Al-Quran iaitu berkenaan dengan satu perbincangan antara Abu Ayyub Al Anshari dengan isterinya, Ummu Ayub Ra. Wanita itu berkata,
”Tidaklah kamu mendengar apa yang dikatakan orang mengenai Aisyah?
“Ya, tapi itu bohong,” jawab si suami, “Apakah kamu melakukannya juga, hai ummu Ayyub?”
“Tidak, demi Allah,”kata si istri, “Mengapa aku harus meniru orang-orang itu?”
“Abu Ayyub menegaskan, “Demi Allah, Aisyah itu lebih baik darimu.” (Ibnu Hisyam, (As Sirah An Nabawiyah, II/303).

Selain itu, janganlah sesekali membiarkan hawa nafsu untuk ikut campur dan berperang dalam tersebarnya khabar bohong. Jika kita menurut hawa nafsu sama saja seperti kita menjerumuskan diri kita ke dalam lembah kesesatan. Al Muqrizi pernah meriwayatkan tentang dialog yang dilakukan oleh Zainab(isteri Rasulullah) dengan Rasulullah SAW, di mana isteri yang baik budi itu mengatakan kepada suaminya, “Terpeliharalah kiranya pendengaranku dan penglihatanku. Aku tidak melihat pada Aisyah kecuali yang baik-baik saja. Demi Allah, aku tak pernah mengajaknya bicara dan aku memang benar-benar mendiamkannya, tetapi aku hanya mengatakan yang benar.” (Imta’ul Asma’ 1/208). Sedangkan pada saat itu antara Zainab dan Aisyah sering terjadi persaingan untuk menarik hati Rasulullah S.A.W. Namun, hal itu tidak membuatkan Zainab iri hati dan memperturutkan hawa nafsunya dengan memburuk-burukkan atau berkata yang tidak benar tentang Aisyah.


Akhir sekali, janganlah membalas berita bohong dengan berita bohong yang lain dan janganlah membalas isu yang dusta dengan isu lain yang serupa. Orang yang difitnah itu pula hendaklah mampu menahan diri dari sifat marah atau berdendam. Maksudnya, jangan membiarkan lidahnya berbicara sesuatu yang boleh melanggar kehormatan orang lain sekalipun orang lain itu telah menganiaya dirinya sehinggalah terbukti dirinya benar dan tidak bersalah. Inilah sikap yang sangat penting yang perlu diterapkan dalam diri mangsa fitnah itu.