Penyebaran fitnah menerusi internet kini telah menjadi satu
fenomena hebat yang mendatangkan keburukan kepada pelbagai
pihak. Kebebasan yang diberikan telah disalahgunakan oleh mereka yang
tidak bertanggungjawab bagi tujuan kepentingan peribadi. Biarpun kebebasan
bersuara diamalkan diseluruh negara di dunia namun fungsi internet seharusnya
mendidik dan ia tidak harus disalahgunakan sehingga mendatangkan kesusahan kepada
pihak yang lain.
Berbagai-bagai faktor yang mendorong berlakunya fitnah siber. Antara
faktor utama yang menjadikan alam siber sebagai tempat menyebar fitnah adalah didorong oleh sifat tamak, iri hati dan
mementingkan diri sendiri. Oleh itu, individu tersebut akan menulis
pelbagai cerita yang tidak benar tentang individu yang dibencinya di media
sosial untuk menjatuhkan individu tersebut dan terlalu mengikut perasaannya.
Tambahan pula, alam siber adalah alam tanpa sempadan dan
kos dalam penggunaannya sangat rendah berbanding telefon bimbit atau
medium perhubungan yang lain. Oleh kerana ciri-ciri tersebut, medium
ini boleh menyebabkan perhubungan yang lebih meluas. Maka setiap orang
berpendapat adalah lebih mudah bagi mereka meluah dan menyuarakan pendapat
kepada pihak lain malah ke seluruh dunia.
Selain itu, faktor lain yang menyumbang kepada permasalahan ini
ialah kewujudan pelbagai bentuk
kemudahan dalam alam siber, seperti e-mail, mesej yang dihantar secara
berkelompok, papan buletin atau berkomunikasi melalui forum. Jika
ramai yang berkomunikasi melalui cara ini, maka lebih banyak fitnah boleh
disebarkan. Fitnah yang disebarkan akan dilakukan secara serta-merta dan
tersebar menjadi permasalahan sejagat. Contohnya, parti-parti politik yang
menggunakan internet dalam memperjuangkan kesinambungan agenda politik
mereka. Ada sesetengah daripada pemimpin ataupun ahli parti-parti politik
ini tidak kira yang menyokong kerajaan ataupun dipihak pembangkang menggunakan
berita dalam talian untuk menabur fitnah dan hasutan bagi melemahkan pihak
lawan mereka.
Faktor lain pula adalah kurangnya
kesedaran mengenai akibat menyebarkan fitnah atau berbaur hasutan khususnya
kepada golongan yang tidak berfikir secara matang dan rasional serta kewarasan
akal untuk bertindak. Mereka haruslah menyedari bahawa dalam ajaran agama
ada menyebut tentang keburukan fitnah dan hasutan tidak kira apa jua agama
sekalipun contohnya dalam agama Islam, Kristian, Buddha, dan Hindu.
Akhir sekali, berkemungkinan
juga segelintir orang tidak peka
terhadap beberapa isu yang sensitif yang boleh menyebabkan orang lain menyeleweng
maksud yang ingin disampaikan berkenaan dengan isu sensitif sehingga boleh
menimbulkan fitnah. Fitnah juga boleh wujud dalam kalangan orang yang menjalankan
perniagaan contohnya melalui blog. Sebagai contoh, individu atau
organisasi perniagaan yang ingin mendapatkan keuntungan yang lebih banyak
berbanding pesaing lain. Taktik fitnah dan hasutan adalah cara yang
penting bagi mereka mencapai apa yang mereka kehendaki. Oleh itu, dengan
adanya kemudahan blog mereka senang untuk mengatasi pesaing-pesaing mereka
dengan menyebarkan fitnah dan agenda-agenda tertentu dengan memburukkan
perniagaan orang lain.
No comments:
Post a Comment