Pada masa kini, isu fitnah kian menular dalam kalangan masyarakat
dan perlu diatasi dengan segera memandangkan impaknya terhadap individu,
masyarakat dan negara amatlah besar sehingga mampu meruntuhkan sesebuah
institusi kekeluargaan mahupun institusi agama. Oleh itu, langkah-langkah bijak
harus diambil terutamanya oleh pihak kerajaan untuk membendung dan mengatasi budaya
fitnah ini.
Pelbagai langkah yang boleh diambil untuk membendung dan mengatasi
masalah ini. Antaranya ialah, pihak kerajaan hendaklah mewujudkan sebuah badan
khas yang akan menyelenggera atau menapis segala paparan di media sosial. Hal
ini kerana, media sosial telah menjadi medium utama pada masa kini untuk
menyebarkan fitnah kerana sifatnya yang terbuka, bebas dan pantas berbanding
media cetak. Apatah lagi apabila konsep kebebasan bersuara dan hak asasi
manusia yang diamalkan tanpa sekatan dalam internet itu sendiri telah
membolehkan sesiapa sahaja menghantar atau menyiarkan sebarang maklumat samada
sahih atau tidak. Jika badan ini diwujudkan, cerita-cerita yang tidak
sepatutnya disiarkan dapat dihalang dari tersiar, seterusnya mampu mengatasi
masalah fitnah ini.
Seterusnya, pihak kerajaan wajiblah menguatkuasakan undang-undang
yang lebih berkesan. Undang-undang tersebut bukan sekadar menyediakan hukuman
berat kepada pengfitnah malahan mampu menakutkan semua orang agar tidak
sewenang-wenangnya berkata, menulis atau menyiarkan sesuatu yang tidak sahih
memandangkan impaknya amatlah besar kepada pelbagai pihak bak kata pepatah,
“kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”.
Di samping itu, pihak kerajaan perlulah memberikan pendedahan yang
meluas dan berkesan kepada masyarakat tentang etika penulisan yang sebenar.
Jika diperhatikan, masyarakat kini lebih cenderung untuk sekadar menulis
apa-apa sahaja yang terlintas di benak fikiran tanpa memikirkan implikasi yang
akan timbul akibat dari penulisan tersebut. Hal ini terjadi kerana mereka tidak
tahu dan tidak peka terhadap etika penulisan yang betul atau undang undang
berkaitan dengan penulisan itu sendiri. Dalam hal ini, media massa dan
elektronik menjadi medium yang sangat penting pada kerajaan dalam menyebarkan
prosedur sebenar tentang penulisan yang tidak melanggar syarat-syarat menulis bukan
sahaja berkaitan isu sensitif seperti isu agama dan politik malahan dalam
penulisan umum.
Selain itu, budaya fitnah juga dapat diatasi sekiranya pihak
kerajaan mewajibkan atau melakukan penegasan agar semua data-data, fail atau
laman media sosial didaftarkan terlebih dahulu dengan kerajaan sebelum boleh
dilayari. Hal ini bagi memudahkan pihak kerajaan membuat pantauan dan mengesan
sebarang maklumat yang tidak sah atau tidak benar. Ini juga akan membuatkan
seseorang lebih berhati-hati dan akan meneliti terlebih dahulu penulisan mereka
supaya tidak mengandungi unsur fitnah yang akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan
yang setimpal.
No comments:
Post a Comment