Fitnah dalam bahasa Arab memberi erti bencana, ujian dan cubaan.
Dari segi istilah ulama adalah seperti yang didefinasikan oleh Jurjani iaitu
perkara yang dilakukan untuk mengetahui kebaikan atau keburukan sesuatu.
Menurut Kamus Dewan edisi keempat, fitnah pula didefinisikan
sebagai tuduhan, khabarm kisah dan lain-lain yang diada-adakan atau dibuat-buat
untuk memburukkan atau membencanakan seseorang.
Fitnah secara
umumnya merupakan satu bentuk komunikasi kepada
satu pihak atau lebih yang bertujuan untuk memberikan stigma negatif atas
sesuatu peristiwa yang dilakukan oleh pihak lain, ia berdasarkan atas fakta
palsu yang dipengaruhi oleh sifat penghormatan, buruk sangka, obses, atau
menjatuhkan dan/atau menaikkan nilai reputasi seseorang atau sesuatu pihak.
Dalam Al-Quran, kata fitnah disebutkan pada 34 tempat dan digunakan
untuk erti atau makna yang berbeza. Kitab-kitab hadis juga pada umumnya
memasukkan bab tertentu tentang fitnah. Sebagai contoh, Kitab Sahih Al-Bukhari
ada memasukkan 78 hadis tentang fitnah. Makna fitnah dalam Al-Quran ialah:
1. Fitnah yang membawa maksud syirik.
Firman Allah:
“Syirik
lebih dasyat dosanya daripada membunuh.” (Ayat 191:Surah Al-Baqarah)
2. Fitnah yang membawa maksud ujian dan cubaan.
Firman Allah:
"Dan
sesungguhnya kami telah menguji ummat yang terdahulu."(Ayat 3:Surah Al-Ankabut)
3. Fitnah yang membawa maksud seksa.
Firman Allah:
“Rasakanlah
azabmu ini. Inilah azab yang dahulu kamu minta agar disegerakan.”(Ayat
14:Surah Az-Zariat)
4. Fitnah yang membawa maksud dosa.
Firman Allah:
"Dan
sebahagian mereka ada yang berkata "izinkanlah aku untuk tidak berperang
dan janganlah menyebabkan aku berbuat dosa. Ketahuilah mereka yang telah
terjebak dalam dosa (dengan tidak mahu pergi berperang)."(Ayat
49:Surah At-Taubah)
5. Fitnah yang membawa maksud kekufuran.
Firman Allah:
"Sesungguhnya
mereka inginkan kekufuran."(Ayat 48:Surah At-Taubah)
6. Fitnah yang membawa maksud pembunuhan dan kebinasaan.
Firman Allah:
"Sekiranya
kamu takut orang-orang Kafir membunuh kamu."(Ayat 101:Surah An-Nisa)
7. Fitnah yang membawa maksud berpaling dari jalan yang benar.
Firman Allah:
"Dan
berwaspadalah dari mereka yang hendak memesongkan kamu dari jalan
kebenaran."( Ayat 49:Surah Maidah)
8. Fitnah yang membawa maksud sesat.
Firman Allah:
"Dan
sesiapa yang Allah hendak menyesatkannya."(Ayat 41:Surah Al-Maidah)
9. Fitnah yang membawa maksud alasan.
Firman Allah:
"Kemudian
tidaklah ada alasan mereka melainkan mereka berkata "Demi Allah wahai
tuhan kami, kami bukannya orang-orang musyrikin."(Ayat 23:Surah Al-An'am)
Jika diperhatikan, semua gambaran Al-Quran di atas adalah kesan
buruk dari fitnah. Banyak kesan buruk yang akan terjadi akibat fitnah yang
tercetus.
No comments:
Post a Comment